Sunday, 4 December 2011

MBMMBI

Pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI)  
                       
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 telah memansuhkan pelaksanaan dasar PPSMI dan digantikan dengan dasar MBMMBI. Dalam melaksanakan dasar MBMMBI, pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris diperkukuhkan menerusi pendekatan yang lebih berkesan. Dengan pemansuhan dasar PPSMI, sekolah kebangsaan dan sekolah menengah hendaklah menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar masing-masing pembelajaran Sains dan Matematik. Manakala di SJK(C) dan SJK(T) menggunakan bahasa pengantar masing-masing. 
            Pada 5 Ogos 2009, Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan supaya dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2010. Dalam proses peralihan ini, sekolah boleh menggunakan Bahasa Inggeris dan atau bahasa pengantar masing-masing dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Ini bertujuan membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan perubahan dasar berkenaan. Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik semasa peralihan dasar PPSMI ke MBMMBI mulai tahun 2010 adalah seperti berikut:

i.    Mulai tahun 2010 pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik sekolah rendah dan menengah boleh menggunakan Bahasa Inggeris. 

ii.   Mulai tahun 2011 pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik Tahun Satu di sekolah kebangsaan menggunakan Bahasa Inggeris. Manakala SJK(C) dan SJK(T)pula menggunakan bahasa pengantar masing-masing. Sekolah menengah boleh menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

iii.   Mulai tahun 2012 pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik Tahun Empat di sekolah kebangsaan menggunakan Bahasa Malaysia dan atau Bahasa Inggeris sehingga kohort tersebut tamat Tahun 6. Manakala di SJK(C) dan SJK(T) pula, menggunakan bahasa pengantar masing-masing dan atau Bahasa Inggeris sehingga kohort tersebut tamat tahun 6. Sekolah menengah pula, pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik Tingkatan Empat boleh menggunakan Bahasa Inggeris dan atau Bahasa Malaysia sehingga kohort tersebut tamat Tingkatan 5.
            Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi Tingkatan Enam Rendah, Tingkatan Enam Atas dan Matrikulasi diteruskan dalam Bahasa Inggeris. Penyediaan soalan-soalan peperiksaan awam bagi kelompok mata pelajaran Sains dan Matematik semasa peralihan dasar adalah seperti berikut:

i.    Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) - dwibahasa sehingga 2015.
ii.   Penilaian Menengah Rendah (PMR) – dwibahasa sehingga 2013.
iii.  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) – dwibahasa sehingga 2015.  
     
            Justeru itu, guru di sekolah merupakan tulang belakang dan orang yang terpenting dalam mempastikan dasar MBMMBI berjalan dengan lancar dan sempurna. Tidak dinafikan juga ibu bapa, masyarakat dan pihak-pihak lain yang berkaitan juga hendaklah memainkan peranan yang positif dalam menjayakan dasar ini. Seperti kata peribahasa “Berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing” dan “Bagaikan aur dengan tebing”.

No comments:

Post a Comment