Friday, 2 December 2011

ICT

Peranan Teknologi Komputer Dalam  Proses Pengajaran dan Pembelajaran
1.0   Pengenalan
            ICT adalah singkatan daripada Information and Communication Tecnology(Teknologi Maklumat dan Komunikasi).Teknologi membawa pengertian alat yang digunakan oleh manusia dan alat yang ada pada manusia iaitu ilmu pengetahuan, kemahiran, dan kepakaran dalam ilmu tertentu untuk menyelesaikan masalah hidup. Maklumat merujuk kepada makluman, pemberitahuan, butir-butir, dan pengetahuan. Komunikasi bererti perhubungan secara langsung atau dengan perantaraan surat, radio, telefon, dan lain-lain komunikasi atau perhubungan dengan atau yang sampai kepada orang ramai amnya.
            Komputer adalah mesin memproses maklumat yang perlu diberikan arahan oleh penggunanya. Arahan ini boleh disampaikan menerusi peralatan input seperti papan kekunci, pengimbas, kad joystick, tetikus, pad grafik dan unit pemprosesan(CPU). Teknologi komputer adalah hasil penggunaan komputer yang berkaitan penerimaan dan penyampaian maklumat seperti gambar, bunyi, perkataan dan nombor kepada pengguna secara elektronik. Perkakasan komputer adalah terdiri daripada mesin dan alat fizikal yang mempunyai fungsi-fungsi seperti pemprosesan, kemasukan dan keluaran data, serta penyimpanan data.
            Komputer adalah alat elektronik yang kompleks dan mempunyai banyak kelebihan. Justeru itu, penggunaan teknologi komputer mampu menghasilkan maklumat dengan lebih cepat, tepat dan terkini dengan kemudahan teknologi berwayar dan tanpa wayar. Komunikasi wujud tanpa batasan dan pantas menerobos ke seluruh dunia.
                        Antara istilah-istilah teknologi komputer yang sering didengari dan digunapakai seluruh dunia adalah seperti : blogger, email, chat, blogspot, download, facebook, website, user name,  password dan sebagainya. Teknologi yang begitu pesat menyebabkan tenaga pengajar tidak ketinggalan untuk turut serta melibatkan diri meningkatkan taraf pencapaian pelajarnya.


2.0   Masalah Pengajaran dan Pembelajaran di Bilik Darjah     
            Bilik darjah adalah salah satu tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran terpenting di dalam sebuah sekolah. Bagi guru bilik darjah merupakan adalah tempat pembentukan modal insan yang seimbang dari semua segi iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek yang selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK). Mari kita hayati FPK:
            “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan  dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”     
            Harapan setiap guru adalah objektif yang ditetapkan dalam pengajaran dan pembelajaran(p&p) tercapai 100 peratus. Oleh kerana terdapat pelbagai masalah dalam kelas,  objektif yang ditetapkan tidak mencapai seperti yang diharapkan. Antara permasalahan tersebut adalah :

2.1   Sikap dan Karenah Murid
a.          Takut untuk bertanya disebabkan akan dimarahi guru, ditertawakan rakan-rakan dan bimbang dianggap bodoh
b.         Malu bertanya tentang topik yang kurang faham kerana tidak mahu dilihat lemah dan tidak pandai terutamanya pelajar lelaki
c.          Lambat penguasaan disebabkan tahap kecekapan yang berbeza-beza
d.         Bosan belajar akibat teknik dan strategi pembelajaran yang tidak sesuai
e.          Murid tidak memberi tumpuan sepenuhnya semasa proses p&p yang disebabkan faktor dalaman dan faktor luaran.
            Justeru itu murid akan membuat perkara-perkara yang boleh menarik perhatian guru dengan melakukan apa sahaja antaranya berbuat bising, bermain, berlari dan sebagainya.

2.2   Objektif Pengajaran dan Pembelajaran Tidak Tercapai 100 Peratus
            Guru mengharapkan semua murid  mendapat segala ilmu pengetahuan yang diberi. Tetapi hal ini adalah  sukar kerana setiap murid mempunyai tahap intelektual dan tahap kefahaman yang berbeza-beza.  Bagi sekolah di luar bandar bilangan murid dalam kelas adalah tidak ramai. Oleh itu murid-murid tidak diasingkan mengikut tahap intelektual kerana bilangan murid sedikit. Justeru itu guru adalah agak sukar untuk mengajar dalam satu kelas yang muridnya terdiri daripada pelbagai tahap kecerdasan inteletual berbanding jika murid diasingkan kelas iaitu kelas pandai, kelas sederhana dan kelas lemah.
            Oleh itu guru terpaksa menggunakan pelbagai pendekatan dan kaedah untuk memastikan murid-murid dapat belajar dengan selesa dan mendapat apa yang diajar oleh guru. Selain itu juga, murid-murid yang lemah terpaksa menghadiri kelas-kelas tuisyen dan kelas tambahan agar setiap pelajar mencapai hasil pembelajaran yang diperlukan.

2.3   Kekurangan Masa Untuk Menghabiskan Sukatan Pelajaran
            Guru-guru perlu menghabiskan sukatan pelajaran mengikut tempoh diberikan. Di samping mengajar, guru juga diarah untuk berkursus, menghadiri mesyuarat, menghadiri taklimat dan pelbagai lagi urusan penting di luar. Tugas guru sekarang bukan sahaja mengajar tetapi guru dibebani dengan tugas-tugas perkeranian. Hal ini sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada pengajaran dan pembelajaran.  Justeru itu, proses pengajaran dan pembelajaran telah terganggu.  Apabila sukatan pelajaran belum dihabiskan dan peperiksaan sudah hampir telah menyebabkan guru akan mengajar laju dan murid hanya sekadar mendengar, diedarkan nota dan soalan ramalan dan latihan pula kurang diberikan. Teknik pengajaran guru yang tidak menarik dan membosankan akan menjadikan murid-murid akan bosan, tidak suka belajar dan ponteng kelas.

2.4   Kekurangan Kemudahan Prasarana dan Kurang Sumber Maklumat
            Kekurangan kemudahan dan ketidakselesaan dalam kelas akan memberi kesan yang negatif pada pembelajaran murid-murid. Pembelajaran lebih bermakna dan seronok sekiranya kelas mempunyai kemudahan yang cukup, kondusif dan bermaklumat. Contohnya sesetengah kelas tidak mempunyai LCD yang tetap, kemudahan internet tidak dapat dicapai dan selalu ada gangguan. Selain itu juga bilangan komputer di dalam makmal adalah kurang dan banyak yang rosak dan terpaksa berkongsi empat orang untuk sebuah komputer. Peralatan ICT yang rosak lambat dibaiki oleh pihak yang dipertanggungjawabkan. Hal ini telah menyebabkan pengajaran dan pembelajaran akan terganggu. Justeru itu murid-murid dan guru tidak dapat mendapat maklumat yang terkini dan tugasan guru juga akan lambat disiapkan.
             
3.0   Kepentingan Teknologi Komputer Dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran
            Komputer adalah alat elektronik yang kompleks dan mempunyai banyak kelebihan. Ia sesuai untuk dijadikan alat bagi membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ia berkemampuan menerima dan memproses data. Komputer juga membantu guru mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang berkesan jika digunakan dengan sistematik. Pengajaran yang disertakan dengan bahan bantu mengajar yang terkini akan dapat menambahkan minat murid mempelajari sesuatu topik. Di samping itu juga, jika komputer digunakan secara sistematik dan berkesan oleh guru, ia mampu menyelesaikan sebarang masalah pengajaran dan pembelajaran. Ini selaras dengan pandangan Heinich(1996) yang menyatakan bahawa komputer dapat memperkayakan teknik pengajaran.
            Salah satu matlamat utama pengajaran dan pembelajaran ialah objektif yang ditetapkan tercapai 100 peratus. Justeru itu pelbagai pendekatan dan kaedah telah digunakan agar proses pengajaran dan pembelajaran lebih menyeronokkan dan lebih bermakna. Kemudahan teknologi komputer terkini dapat membangunkan negara serta menambahbaikan sistem pendidikan negara dengan mengukuhkan kemahiran ICT dikalangan tenaga pengajar dan juga murid-murid.
            Penggunaan teknologi komputer dalam bentuk perisian tutorial, kaedah simulasi, permainan, ujian dan latih tubi dapat membantu guru-guru menyelesaikan masalah pengajaran di bilik darjah. Pendekatan ini memudahkan guru merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan lebih efisyen dan berkesan. 
            Penyampaian satu fakta atau penerangan menggunakan perisian seperti Microsoft Power Points dengan animasi dan corak mampu menarik minat dan kecekapan pelajar semakin meningkat. Penyampaian maklumat seperti ini untuk memulakan topik atau sesi pembelajaran baru dapat merangsang daya tumpuan dan ingatan pelajar. Pelajar senang tertarik dengan ringkasan nota yang pendek berbanding baris ayat yang panjang di papan putih.
            Guru berperanan sebagai penyampai maklumat dan memastikan bahawa pelajar telah mempunyai pengetahuan sedia ada. Oleh itu segala perancangan dibuat mengikut turutan aktiviti supaya objektif pembelajaran tercapai. Guru boleh menggunakan ICT untuk pengurusan pembelajaran, pengurusan rekod pelajar dan penjanaan tabung soalan. Persembahan pengajaran yang menarik apabila guru menggunakan aplikasi multimedia seperti Authoware, Freehand, Page Maker dan sebagainya  kerana ia mengandungi grafik yang menarik yang boleh diaudiokan, divideo dan dianimasikan secara bijaksana. Pelaksanaan pendekatan baru dalam pengajaran dan pembelajaran telah mengubah peranan daripada “tuan” kepada “pembantu”, daripada “pengarah” kepada “penyelia”, daripada “diktator” kepada “fasilitator”. Murid menentukan dan merancang pembelajaran sementara guru pula bertindak memastikan murid berjaya melaksanakan rancangan pembelajaran mereka dan mencapai kriteria yang telah ditetapkan.
            Permainan komputer(game)  amat diminati para pelajar malahan orang dewasa. Didapati pelajar lebih memberi tumpuan menyiapkan atau menyempurnakan tugasan permainan komputer berbanding tugasan diberikan guru kerana tugasan permainan komputer lebih interaktif dan menyeronokkan. Oleh itu, guru perlu menyediakan bahan untuk menghilangkan rasa kurang seronok membuat tugasan rumah misalannya memberi perisian interaktif untuk dibuat dirumah berbanding memberi tugasan pada buku atau helaian kertas yang membosankan. Namun setiap tugasan masih perlu dipantau agar pelajar tidak menyalahgunakannya. Penyampaian maklumat menggunakan teknologi komputer lebih berkesan untuk menarik minat murid dan seterusnya ia memudahkan guru menyediakan latihan dan penyemakan soalan dengan pantas.
            Penggunaan ICT untuk pembelajaran menggalakkan pembelajaran kendiri dan penerokaan. Proses ini berlaku apabila ICT digunakan sebagai medium untuk mencari dan mengakses maklumat daripada CD-ROM, internet, portal maklumat dan sumber-sumber maklumat yang lain. ICT juga juga dapat memberikan pengalaman, mempelajari dan mengkaji sesuatu fenomena secara simulasi serta melihat demonstrasi sesuatu kejadian. Melalui cara ini murid-murid boleh mengawal dan menentukan maklumat yang diterima melalui ICT.
            Berdasarkan tajuk yang dipelajari dalam kelas, murid boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci dengan mengakses sendiri maklumat daripada ensaiklopedia multimedia atau bahan-bahan daripada internet. Murid-murid akan mengumpul bahan-bahan ini dan seterusnya digunakan untuk menjana dan menguji hipotesis dalam penyelesaian masalah.
            Murid-murid juga digalakkan supaya melayari laman web seperti Portal Pendidikan Utusan yang memuatkan koleksi soalan dan nota panduan. Murid-murid yang melayari laman web ini dapat menjawab terus soalan-soalan yang tersedia, mereka diminta untuk menjawab soalan yang dikemukakan oleh komputer dan komputer akan menilai serta memberi maklum balas yang sesuai berdasarkan jawapan yang diberikan. Mereka akan memperoleh maklum balas terhadap jawapan secara serta merta. Hal ini akan menimbulkan keseronokan sekaligus boleh memotivasikan murid dengan peneguhan positif yang diberi apabila murid memberikan jawapan. Aktiviti ini boleh dilakukan sendiri oleh murid di rumah atau di Pusat Akses sekolah.

4.0   Kesimpulan       
            Para pendidik digesa melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan teknik atau kemahiran berteraskan teknologi maklumat bagi mengalakkan pertumbuhan pembelajaran murid-murid dan berusaha ke arah keberkesanan dan pencapaian matlamat organisasi. Impak teknologi komputer amat besar di dalam kehidupan seharian. Dengan adanya pengetahuan ini guru mampu melengkapkan murid dengan segala keperluan bagi menghadapi cabaran masa hadapan yang penuh dengan teknologi baru.
            Peningkatan pertumbuhan penggunaan teknologi maklumat telah menjadi fenomena dunia. Maka ia telah memberi impak mendalam dalam sistem pendidikan. Pihak Kementerian Pelajaran mula memberi penekanan kepada aspek ini dengan mewujudkan sekolah bestari, makmal komputer di sekolah-sekolah dan pengubalan kurikulum pelajaran berasaskan teknologi maklumat. Sewajarnya guru-guru mengadaptasikan segala kemudahan teknologi komputer ini.
            Oleh yang demikian perlunya kualiti dalam peningkatan infrastruktur sokongan yang berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi membuka ruang lebih luas kepada para guru untuk mengaplikasi segala teori, kemahiran dan kepakaran sedia ada.

No comments:

Post a Comment