Sunday 4 December 2011

PPSMI

Pelaksanaan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
            Bahasa Inggeris telah menjadi semakin penting dalam era globalisasi. Bahasa Inggeris juga adalah bahasa ilmu di mana 90% bahan dalam internet adalah dalam bahasa Inggeris. Sebagai bahasa antarabangsa, pelajar boleh memperolehi maklumat mengenai perkembangan terkini dalam bidang Sains dan Matematik di samping meningkatkan kebolehan mengakses maklumat dari pelbagai sumber. Melihat kepada kepentingan bahasa Inggeris ini, maka pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris pada tahun 2003 telah dicadangkan oleh kerajaan. Pada masa yang sama pelaksanaannya memberi peluang kepada guru dan pelajar peluang menggunakan bahasa Inggeris dan meningkatkan profisien berkomunikasi dalam bahasa tersebut.
            Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris secara berperingkat telah dijalankan bermula 2003 bagi tahun 1, tingkatan 1dan tingkatan 6 rendah di semua sekolah kebangsaan. Sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada semua peringkat sekolah menjelang 2008. Soalan peperiksaan telah disediakan menggunakan dwibahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris. Penggunaan Bahasa Inggeris sepenuhnya di dalam peperiksaan Sains dan Matematik bermula pada tahun 2008 bagi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), pada tahun 2005 bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan pada 2007 bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
            Bagaimanapun, untuk meningkatkan kecekapan guru dalam penggunaan bahasa Inggeris mengajar Sains dan Matematik, pihak Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pendidikan Negeri dan Daerah telah mengambil langkah menganjurkan kursus-kursus dalam perkhidmatan untuk guru Sains dan Matematik seperti Kursus Etems. Di samping itu, untuk menggalakkan lebih ramai guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bayaran insentif 10% dan 5% daripada gaji pokok guru bukan siswazah dan guru siswazah masing-masing akan diberi sebagai insentif bulanan, mengikut syarat-syarat dinyatakan dalam Surat Pekeliling : Syarat Baru Bayaran Intensif Subjek Pendidikan (Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik).
            Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris telah menjadi satu isu dalam pendidikan. Ada pihak yang berpendapat bahawa program reformasi ini akan menjejaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah. Penguasaan bahasa Inggeris adalah lemah di kalangan murid, khasnya murid-murid  sekolah rendah yang baru masuk darjah satu. Tambahan pula, ramai guru Sains dan Matematik yang telah membiasakan diri dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar akan menghadapi masalah apabila menukarnya kepada bahasa Inggeris semasa pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.
            Kongres Pendidikan Melayu Kedua telah meminta kerajaan mengkaji supaya penggunaan Bahasa Inggeris untuk dua mata pelajaran itu. Permintaan ini adalah berkenaan kajian akademik yang mendapati 80 peratus atau setengah juta pelajar Melayu akan keciciran dalam Sains dan Matematik. Pengerusi Jawatankuasa Kongres Pendidikan Melayu Kedua ini, Tengku Razaleigh juga mengatakan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai kaedah pengajaran Matematik dan Sains telah menimbulkan banyak masalah kepada guru dan pelajar sejak ia dilaksanakan.
            Justeru itu, setelah dikaji pelbagai aspek maka telah diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet pada 8 Julai 2009 bahawa Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat mulai 2012 bagi Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4. Seterusnya diperkenalkan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

No comments:

Post a Comment